Monday, July 9, 2018

Sekilas Pandang


Assalamualaikum,

Hari ini, 10 Julai 2018, genaplah 2 bulan PH memerintah negara ini. Ini bermakna sudah

2 bulan juga BN menjadi parti pembangkang setelah lebih 60 tahun memerintah negara.

Sepatutnya hari ini samada BN mahupun PH, masing-masing sibuk fokus kepada peranan

masing-masing. PH contohnya sepatutnya sibuk berusaha untuk realisasikan janji-janji yang

tertera di manifesto PRU 14 di samping gigih membersihkan nama negara dari isu isu yang

terpalit yang menyebabkan majoriti rakyat marah dan menterjemahkan kemarahan itu di PRU14.


Menteri-menteri kabinet yang telah dilantik pula sibuk dengan tugas-tugas bagi menambah baik

pengurusan di kementerian masing masing. Pendek kata mereka memerah otak agar kementerian

yang diuruskannya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


Wajah Malaysia baru harus segera diketengahkan !

Sementara itu….BN pula sepatutnya sibuk mencari isu-isu dengan fakta yang betul dan lengkap

supaya dapat menjadi pembangkang yang berilmu, berwibawa dan cekap jika berhujah.

Dalam pada itu mereka berusaha memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada UMNO.

UMNO parti keramat orang Melayu. Untuk menarik hati rakyat agar kembali menyokong

UMNO, BN wajib mempamerkan wajah baru bersih luar dan dalam. Mereka juga boleh menjadi

pengkritik kerajaan yang segar dengan idea bernas, berilmu dan berwibawa hingga memberi

check & balance kepada kerajaan.

Selain itu, usaha membersihkan UMNO dari pemimpin korup, putar alam, pembohong,

budaya samseng, ego, kroni dan lemau patut segera dibuat bagi  mengembalikan kepercayaan

rakyat kepada UMNO. Ini wajib dibuat sungguh- sungguh, dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Apa yang rakyat benci hingga  sanggup mengalih kiblat ketika PRU 14, sentiasa diambil kira

dalam mengatur strategi pemulihan ini.


UMNO wajib menunjuk keseriusannya untuk menegakkan kembali undang-undang dan

mempertahankan keluhuran Perlembagaan  yang sebelum ini telah dikhianati.. Kealpaan dan

kelemahan lampau wajib dijadikan pengalaman pahit yang tak mungkin diulang.


Ini yang kita mahu lihat dilakukan oleh kerajaan dan parti pembangkang selepas PRU 14.

Namun hingga hari ini bagaimana agaknya?

Setiap kali kita membuka FB, kita dapat melihat suasana masih seperti sebelum PRU 14.  

Penyokong kerajaan serta penyokong pembangkang masih terus bertikam lidah. ….

mengutuk kepimpinan lawan.


Penyokong pembangkang terus menerus menghentam kepimpinan PH, menuduh mereka

menang PRU14 kerana fitnah mereka tanpa membuat muhasabah diri kecuali segelintir saja.

Mereka mempertikaikan perlantikan menteri-menteri serta menuntut janji  PRU14 dipenuhi tanpa

memikirkan beban kudis yang ditanggung oleh kerajaan.


Mereka terus menghentam kerajaan kerana belum menunaikan janji seolah-olah masa kerajaan

lama memerintah semua janji telah ditepati dan suci daripada kekotoran.  Gambar-gambar

pemimpin kerajaan, sedutan ucapan ucapan mereka walaupun telah seabad berlalu terus

diviralkan dengan tujuan untuk menanamkan kebencian rakyat kepada kerajaan dan mahu

melaga-lagakan mereka.


Istilah redha atas kekalahan rupa rupanya hanya dibiber saja!


Lebih hebat lagi apabila  mereka menunjukkan bantahan terhadap kerajaan khasnya sistem

mahkamah/SPRM kerana menahan Dtk Seri Najib atas 4  tuduhan yang dianggap maha zalim

kerana bekas PM suci dan bersih. Ada yang melebelkan bekas PM sebagai bekas PM terbaik

setakat ini dan mahu terus dipilih sebagai PM. Nampaknya untuk mengangkat kembali

undang undang kepada kedudukan yang tinggi dan sepatutnya bukan agenda mereka.


Apa yang mereka mahu mantan PM dilepaskan daripada tuduhan sebab beliau dianggap

pemimpin UMNO yang paling berjasa. Beliau patut dibebaskan. Apa pun kenyataan yang dibuat

tentang DSN oleh kerajaan,  SPRM dan PDRM..dianggap fitnah.


Anih! Hebatnya perjuangan UMNO sehingga lupa untuk memperjuangkan penolakan ke atas

UEC yang terang terang bertentangan dengan Akta Pendidikan itu. Entah entah UEC pun mereka

tidak tahu atau tahu tapi tidak peduli!


Di pihak Kerajaan pula kita lihat menteri menteri yang dilantik cuba berusaha memberikan

perkhidmatan yang terbaik. Kita harus memberi masa kepada mereka. UMNO telah 60 tahun

memerintah tentu pengalaman lebih luas. Namun dek kerana  pemimpin pemimpinnya terlajak

pandai hingga tidak perlu mematuhi undang undang, beraja di mata bersultan dihati, akhirnya

padah menimpa mereka.


Walaupun PH telah mendapat kuasa,  ini bukan bermakna ia akan terus berkuasa selamanya.

Suara suara sumbang daripada DAP atau mana mana penyokong kerajaan menuntut sesuatu

yang tidak mengikut perlembagaan sepatutnya tidak ada. Bersyukurlah banyak banyak kerana

anda dipilih kali ini. Jangan sudah diberi betis hendakkan peha pula.


Semua pemimpin pemimpin parti tak kira daripada pembangkang mahupun kerajaan seharusnya

sekarang membuka topi parti parti masing masing, bekerjasama, bermuafakat  dan berkhidmat

hanya untuk negara dan mensejahterakan rakyat. Bukan untuk perjuangan parti mereka, atau

kaum mereka jika bertentangan dengan perlembagaan. Bukan hentam menghentam dan keji

mengeji dan bergolek diatas jalan mempertahankan pemimpin mereka.

Malulah kepada dunia luar kerana PRU di Malaysia berjalan setiap hari…..


Marilah rakan rakan kita rapatkan barisan untuk sama sama  menyumbang ke arah

kesejahteraan negara. Berikanlah ruang kepada kerajaan baru membina Malaysia baru

dan kita menjadi pengkritik berilmu yang berani . Kita sayangkan negara kerana itu kita berhak

mengkritik atau memberi pandangan membina. Kini kita tidak lagi ditahan kalau mengkritik!

PRU 15 kelak baru kita pakai topi kita kembali jika panjang umur!


TK.

NBH