Thursday, August 16, 2018

100 hari PH.

Assalamualaikum,

Sudah 100 hari PH memerintah. Ini bermakna sudah 100 hari juga UMNO kehilangan kuasa. Rakyat menilai pemerintahan baru. Bagi yang tidak senang dengan kemenangan PH, banyaklah kata nista dan cemuhan dilemparkan kepada pemimpin pemimpin Malaysia Baru. Pemimpin PH  munafik kerana tidak menunaikan janji- janji mereka dalam PRU 14 lepas.  Apa saje kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri dibidas.  Sesetengah kenyataan pula telah diputar belitkan dan ada juga yang ditambah asam garamnya supaya lebih ump !   Kadang kala saya merasa gerun membaca maki hamun mereka ini di fb. Gerun kerana ramai bangsa saya sudah kehilangan adap bila berbicara. Sudah hilang budi bahasa dan sopan santunnya  . Rasa hormat sesama manusia hilang entah ke mana.  Yang  dimaki hamun itu  pula jauh lebih tua daripada mereka malah lebih berjasa daripada mereka.  Sedangkan mereka  bukan sesiapa  pun!

Tapi soalnya,  betulkah PH tidak tunaikan janji kerana mereka mahu menipu rakyat?  Betulkah janji Janji itu sengaja ditabur menjelang PRU14 hanya untuk menawan hati rakyat agar mengundi PH? Bila sudah menang, mereka terus bersenang lenang menikmati kekayaan negara yang ditinggalkan oleh kerajaan lama?.  Betulkah tuduhan itu?
Untuk menjawabnya, tepuklah dada tanya selera. Kerana orang yang taksub sudah ada jawapannya sendiri !

Bagi saya, janji yang terdapat dalam manifesto tidak penting.  Apa tah lagi dua minggu selepas PRU pun Tun M sudahpun membayangkan kesukaran menunaikan janji2 tersebut dalam masa terdekat. Bukan menolaknya tapi melewatkan . Permohonan maaf daripada Tun dan beberapa menteri atas soal tersebut menunjukkan mereka pemimpin yang bertanggungjawab.Bukan lauyah! Bukan senang pemimpin nak minta maaf pada rakyat kecuali pemimpin pemimpin ini menyedari  ‘harga dan nilai ’  sebuah janji! Sebab itu janji dalam manifesto PH bukan keutamaan saya. Saya lebih  melihat apa PH lakukan kepada Malaysia secara keseluruhan.  Itu yang utama.

Bagi saya  paling penting selepas PRU14 ialah saya sudah boleh  bernafas dalam udara yang bersih tidak lagi terasa seperti bernafas dalam  asap  tebal yang kotor.  Bayangkan orang yang bernafas begitu? Bukan saja dia terasa sesak nafas malah asap yang tebal akan merosakkan kesihatan diri sendiri malah merbahaya kepada yang menyedutnya! Ada masa terasa udara begitu kotor!

Terasa sesak nafas kerana melihat negara yang saya cintai ini tidak lagi seperti yang saya kenali. Banyak yang tidak masuk akal berlaku dan menjadi tanda tanya!  Kadang kala  pengakhiran sesuatu peristewa macam cerita kartun dan tiada siapa boleh pertikaikan!
SPRM bertindak tapi mati ditengahjalan. PDRM juga bertindak tapi tiada kesudahan kerana ada yang  kebal.  Para menteri pula angguk saja tanpa yang geleng.   Maka setiap lakonan tamatlah  begitu saja….dan pendokongnya pun bertepuk tangan.

Di tv, akhbar atau perjumpaan , ucapan pemimpin hebat benar. Kejayaan mereka mengurus negara hingga ekonomi mencanak naik, saban malam diputar. Slot slot menunjukkan  Keperihatinan pemimpin pada rakyat sentiasa ditayang. Tetapi dalam masa yang sama saya lihat kehidupan rakyat semakin sempit dengan berbagai cukai yang dikenakan dan kos sara hidup yang meningkat.  Ratusan ribu hilang pekerjaan lantaran banyak kilang dan syarikat ditutup. Tapi ia tidak pula jadi agenda perbincangan di dewan dan pemimpin tidak pun serius memikirkannya.

Keadaan menjadi lebih tak terurus  apabila bank bank dinegara ini bocor menyebabkan  jutaan ringgit wang dijumpai diserata negeri. Ada yang dijumpai di Melaka, Sabah, Selangor dan sebagainya. Wang tersebut pula ada yang di dalam kereta, di dalam pejabat , dalam almari, dekat dapur, syiling rumah  dan entah ape apa lagi. Wang bukan lagi tempatnya di dalam bank!
Kebocoran makin parah menjelang PRU. Wang macam helaian daun kering bertabur di sana sini,  hatta penunggang motorsikal pun di tahan dan dihulurkan wang . Pemimpin semua bangga , muka seperti tidak bersalah.  Bagi mereka duit akan membeli segalanya, hatta boleh beli hati dan perasaan manusia.

Bukan  saja bank, sempadan negara juga bocor menyebabkan  ratusan ribu  bangla dan lain lain masuk ke negara ini sewenang wenangnya. Itu yang kita dapat lihat, bagaimana kemasukan orang Cina dari negara Cina pula? Sukar dibezakan kerana wajah mereka seperi Cina Malaysia!...
Negara ku semakin hilang identitinya!
Saudara saudaraku semakin kuat bertarung untuk hidup.
Yang terlajak mewah pemimpin- pemimpinku!

Sampai bila Malaysia akan seperti ini?  Ini yang menyesakkan fikiran…!

Alhamdulillah, selepas PRU14, saya sudah mula dapat melihat angin perubahan.  Jawapan satu demi satu masalah yang menimpa negara dan menjadi tanda tanya sudah hampir terjawab. Tindakan tegas pemimpin PH menangani masalah ‘ utama negara’ saya percaya menyebabkan  masalah2 lain akan turut selesai.  Dan jika telah selesai, tentu janji dalam manifesto tidak mustahil akan dipenohi semua! .

Untuk kembali maju Malaysia wajib dipimpin oleh PM yang mempunyai integriti, respobsibiliti dan akauntabiliti yang tinggi.   Kita mahu melihat bukan penerima Brim yang bertambah ramai tetapi pemberi Brim lebih ramai daripadanya. Selari dengan ajaran Islam….tangan yang di atas lebih baik daripada yang di bawah!
Rakyat tidak mahukan tongkat tetapi mahukan kapak dan pancing  ! Rakyat ada maruah diri!
Rakyat bukan mahu rumah bagai istana tetapi memadai mampu membeli rumah  yang selesa untuk keluarga mereka.

Tun berusaha keras  mengembalikan balik  Malaysia kepada Malaysia yang saya kenali. Beliau perlukan sokongan semua parti komponan. Beliau mahukan yang ikhlas berjuang.  Bukan pemimpin parti komponan pula sibuk dengan agenda sendiri. Susah benar nak meletakkan dulu topi-yang dipakainya di bawah. Jangan jadi duri dalam daging. Tun sudah tidak punya banyak masa. Belajarlah dengannya bukan menimbulkan masalah dengannya.

Mari sahabatku….sayangilah negara kita. Sayang hingga ke tulang som som bukan sayang cuma dibiber kerana dapat habuan. Bukan sayang hanya ditunjuk  dengan mengucup keris tetapi keris tak pernah menikam sesiapa.
Belalah  bangsa kita bukan asyik berdendang anak kecil main api sedangkan diri sendiri yang membuat anak kecil itu terus bermain api selama 6O tahun.

Terima kasih.

NBH/16082018.

  

,
.
!

No comments: