Kasihan dengan budak bertiga ni. Baru lepas menghadiri satu temuduga , singgah sekejap di cafe Melaka Mall menghilang penat sambil bercerita kisah temuduga yang baru dilalui. Saya yang duduk berhampiran dengan mejanya dapat mendengar dengan jelas kelohan masing-masing, melahirkan rasa bimbang dengan hasil temuduga yang bakal diterima. Saya dan Lat melihat mereka , mereka tersipu- sipu malu selepas menyedari perbualannya didengar.
'Agak-agak boleh dapat?", tanya saya tanpa diminta sebaik mereka memandang ke arah saya. Lat tertawa.
'Entahlah antie, harap-harap dapat!", jawab si A.
'Apa soalan mereka?"
'Dia tanya kenapa saya minta kerja ni, saya jawab sebab saya tak ada kerja, jadi, saya mohonlah!". Saya tertawa mendengarnya.
'Yang kamu pulak?". Si B tersenyum.
'Dia tanya saya , boleh cakap Bahasa Inggeris ke tidak? Saya jawab, bolehlah tapi sikit-sikit". Yang lain tertawa, saya juga turut tersenyum.
'Yang kamu pulak bagaimana?". Si C malu-malu.
'Cakaplah...antie nak tahu jugak?", kata saya.
'Dia tanya saya , ada kenderaan ke tidak sebab kerja yang saya pohon ni perlukan saya memiliki kenderaan, paling tidak motorsikal. Tapi saya jawab saya tak ada kenderaan!". Muka C semacam sedih.
A,B dan C bangun duduk di hadapan saya tanpa diminta. Mereka dan saya macam sudah mesra walaupun baru dua tiga minit berjumpa.
'Agak antie , kami dapat tak kerja tu?", tanya si C. Saya tersenyum memandang mereka bertiga. Terasa macam anak-anak saya pula cuma jantina berbeza.
'Berdoalah. Kamu dah berusaha. Harap-harap usaha kamu diperkenankan Nya. Tapi kalau antie yang temuduga kamu, rasanya antie tak pilih kau orang ni!", kata saya jujur. Mereka terkejut .
'Alah antie ni...janganlah cakap macam tu...Ni yang buat kita orang seram sejuk ni!", kata salah seorang daripadanya. Saya tertawa.
Saya kemudiannya menerangkan kepada mereka mengapa saya mengambil pendirian seperti itu.Saya tunjukkan beberapa kelemahan yang telah mereka lakukan sepanjang sesi temuduga itu berjalan. Akhirnya mereka faham dan saya berharap ia akan dijadikan panduan apabila mereka berpeluang menghadiri temuduga di masa-masa akan datang.
Kepada anak-anak di luar sana...jika menghadiri temuduga , anda semua haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal agar peluang untuk mendapat pekerjaan tersebut lebih cerah. Antaranya ialah;
1. Penampilan diri amat penting. Pastikan penampilan diri sesuai dengan jenis kerjaya yang diminta. Contohnya, jika ingin memohon jawatan sebagai seorang setia-usaha di sebuah syarikat swasta , maka penampilan diri haruslah seperti seorang setiausaha. Mustahil anda datang temuduga dengan memakai jubah dan bertudung lingkup.
2. Yakin pada diri.
Semua calon temuduga harus menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri semasa temuduga dijalankan. Setiap soalan yang diajukan, harus dijawab dengan mantap dan yakin itulah jawapan yang terbaik . Walaupun disergah dengan soalan-soalan yang sama beberapa kali, calon tetap memberikan jawapan yang sama. Cara ini boleh meyakinkan 'orang' bahawa kita tahu apa yang kita katakan. Elakkan daripada mengatakan,:
" entahlah....,
" boleh kot....,
" sikit-sikit tu tahulah"
" yang itu saya tak tahulah " dsb. Sebaliknya katakan ;
" Insyaalah, saya akan cuba melakukan yang terbaik....",
" saya boleh melakukannya dan kalau ada masalah saya akan cuba mengatasinya..", dsb.
3. Tahu sedikit sebanyak tentang kerjaya yang dipohon( daripada aspek tanggung-jawab dan masalah yang bakal dihadapi. Lantaran itu sebelum menghadiri temuduga, calon-calon hendaklah membuat kajian dan penyelidikan dahulu agar anda mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan tentang kerjaya tersebut.
Saya pernah menemuduga ramai calon untuk mengisi jawatan pegawai pemasaran ketika bertugas di DMDI dahulu. Kepada mereka saya katakan begini,
" Jika anda diberi tugas menjual sabun mandi jenama baru, Bunga Raya misalnya, apa kah yang akan anda lakukan agar Sabun Mandi Jenama Bunga Raya ini laris dipasaran?". Nampaknya tidak ramai daripada mereka yang dapat memberikan jawapan yang memuaskan lantaran kurang pengetahuan tentang ilmu pemasaran. Kesannya ,apabila jawapan yang diberikan itu tidak memuaskan maka sudah tentulah markah temuduga juga akan berkurangan.
4. Calon-calon juga haruslah sentiasa berfikiran positif setiap kali memberikan jawapan. Contohnya, jika anda menghadiri temuduga untuk menjadi guru, anda ditanya:
" Adakah anda sanggup berkhidmat di Sabah atau Serawak sekiranya anda berjaya dalam temuduga ini?", anda seharusnya tidak teragak-agak menjawab ,
" sanggup !" Anda tidak mengambil masa dua tiga saat berfikir, baru menjawab,
" sanggup !", itupun dalam nada yang tidak yakin.
Begitu juga jika ditanya ,
" Adakah anda sanggup terima jawatan ini sedangkan gajinya kecil?", anda haruslah terus menjawab:
" Sanggup tuan, sebagai permulaan memanglah gajinya kecil tuan tapi kalau sudah lama bertugas nanti tentulah gajinya naik sedikit!", atau'
" Tak apalah tuan ....walaupun gaji kecil tetapi lebih baik daripada tak ada gaji langsung!"
Kedua-dua jawapan di atas menampakkan kepada penemuduga, yang anda memang berharap sangat mendapatkan pekerjaan tersebut dan mereka akan merasa simpati dengan anda.
5. Setiap jawapan yang diberi , elakkan dalam bentuk objektif tetapi jangan pula loyar buruk. Penemuduga akan merasa rimas, kalau calon-calonnya tidak bijak bercakap, tidak ada idea dan pendiam. Di dalam sesi temuduga, tidak ada markah untuk orang yang pendiam, sepatah ditanya sepatah dijawab. Markah temuduga juga akan "ditolak" kalau calon-calon bersifat loyar buruk, tertalu banyak bercakap di luar daripada soalan yang diajukan.
Selain tips di atas banyak lagi yang saya katakan kepada budak bertiga ni. Alang-alang memberi ceramah percuma apa salahnya bercakap lebih sikit dengan mereka. Merekapun banyak bertanya tentang itu ini kepada saya.
Saya berdoa agar budak bertiga ini segera mendapat pekerjaan demi membina masa depan yang mereka mimpikan. Merekapun masih muda...banyak lagi peluang menunggu di depan...........
No comments:
Post a Comment