Assalamualaikum sahabat ku UMNO!
Kalau nak baca...bacalah!. Kalau tak sudi nak baca pun bacalah juga sikit. Kalau rasa semua ni karut, buanglah jauh jauh. Tak salahpun. Tapi sebagai sahabat, aku rasa aku perlu menjawab soalan mu di sini. Biar yang nak bertanya tapi takut nak bertanya itupun boleh baca. Soal bersetuju atau tidak dengan aku, itu soal lain.
10 Mei 2018, telah melakar sejarah hitam pada parti keramat kita. UMNO tumbang ditangan PH. UMNO tidak lagi menjadi parti dominan memerintah Malaysia setelah 60 tahun berkhidmat di Negara ini. Peristiwa hitam ini in syaa Allah akan tercatat dalam buku sejarah kelak. Pasti guru-guru kita akan menerangkan peristiwa ini kepada cucu cicit kita di sekolah. Macam juga aku dulu dengan bersemangat menceritakan perjuangan Dato Onn, Tengku dll menentang penjajahan British serta menubuhkan UMNO kepada pelajar-pelajar ku!
Aku tahu engkau bersedih. Ramai juga kawan kawan kita sehingga sekarang masih tak percaya UMNO kalah teruk dalam PRU 14 ini. Masakan kalah sedangkan jutaan ringgit sudah ditabur di sana sini untuk membeli hati rakyat. Barang barang makanan seperti gula, minyak, beras, tepung juga hampir setiap minggu menjelang PRU diberi kepada rakyat atas nama ‘ Pemimpin Memahami Denyut Nadi Rakyat’ . Pemimpin pemimpin juga sudah turun padang. Ada yang berbasikal atau bermotor datang ke kampung kampung tanda rendah dirinya pemimpin kita. Ada yang menyapu, memotong rumput, menoreh getah, mengecat rumah dan sebagainya...untuk tunjuk pada rakyat mereka mesra rakyat, mereka sayang rakyat. Saluran tv dan UM setiap hari mencanang kehebatan pemimpin UMNO memerintah negara...hingga iklan di tv pun dikuasai oleh kerajaan. Janji janji manis yang bernilai jutaan ringgit juga sudah diberikan . Masakan itu tidak cukup buat rakyat memangkah BN kelak dlm PRU14? . Maka...engkau amat yakin UMNO dan sekutunya atas nama BN akan menang besar….tapi hakikatnya...sebaliknya telah berlaku. Engkau terduduk! Engkau menangis! Sedih kerana Parti keramat pusaka emak bapak kita buat pertama kali jatuh ke tangan pembangkang!
Bohonglah….kalau aku katakan, aku tak ada rasa apa apa dengan kekalahan ini. Gugur juga setitik dua air mata bila UMNO tidak lagi jadi pemerintah. Namun aku tetap sujud mengucap syukur dengan keputusan tersebut. Anihkan?
Aku sedih kerana UMNO adalah parti keramat, parti kesayangan aruah kedua orang tuaku dan seluruh keluargaku. Taatnya kami kepada parti UMNO jangan pertikaikan. Kenangan aku membonceng basikal abah dengan memegang raga yang berisi karipap menuju ke rumah ketua UMNO dikampung tahun 1955 tak dapat aku lupakan. Lagu ‘ Undilah’ sentiasa bermain dibiber dan poster Kapal Layar penuh keliling rumah setiap kali PRU diadakan. Aku sayangkan UMNO kerana ketika itu kami ditanamkan semangat sayangkan UMNO kerana UMNO lah yang membela bangsa, agama dan tanah air. Kenangan itulah tetap menghantui aku setiap kali aku menulis di FB. Untuk menulis diakhbar tak mungkin tersiar kerana kini nadaku pro kepada pembangkang. Sebenarnya aku mahu membuka minda sahabat sahabatku agar menerima hakikat musuh berada di landasan yang betul. Untuk menang dalam peperangan kita wajib tahu kekuatan dan kelebihan lawan bukan membutakan mata dan memekakkan telinga atas alasan kita hebat sebab sudah memerintah 60 tahun. Mustahil boleh kalah!
Sahabat sahabatku…
Sekarang sah bukan? Engkau yang kalah? Dan kini engkau serta yang lainnya menuding jari mencari siapakah makhlok perosak UMNO yang menyebabkan UMNO kalah teruk dalam PRU14? Tentunya Tun M dijadikan sasaran utama menyebabkan Melayu berpecah undi ! Betulkah tuduhan itu?
Mari sahabat kita berlapang dada mencari sebabnya. Cuma aku mahu engkau jujur dalam mencari sebab tersebut jangan beremosi. Kalau emosi mu mengatasi IQ dan SQ mu pasti kau tidak akan dapat jawapan yang tepat. Dan kalau engkau gagal mencari jawapan yang tepat jangan mimpi engkau akan dapat mencari formula untuk bangkit kembali. Engkau dan UMNO mu akan terkubur selamanya! Percayalah!
Sahabat ku,
Aku sujud syukur sebaik mendapat tahu PH menang . Syukur bukan kerana UMNO sudah tersungkur tetapi syukur kerana ramai anak anak ku di luar sana otaknya di kepala. Boleh berfikir secara sihat! Aku merasa cukup tenang.
Berlapang dadalah sahabat ku menerima kemenangan PH ini. Dan jika engkau ingin tahu pandangan ku , In Syaa Allah akan ku tulis lagi di sini atau kita bertukar w/app kelak.
Semoga MALAYSIA terus bersinar!
Salam dari sahabatmu!
NBH.
16 Mei 2018
2.00 mlm.
No comments:
Post a Comment