Monday, July 9, 2018

Sekilas Pandang


Assalamualaikum,

Hari ini, 10 Julai 2018, genaplah 2 bulan PH memerintah negara ini. Ini bermakna sudah

2 bulan juga BN menjadi parti pembangkang setelah lebih 60 tahun memerintah negara.

Sepatutnya hari ini samada BN mahupun PH, masing-masing sibuk fokus kepada peranan

masing-masing. PH contohnya sepatutnya sibuk berusaha untuk realisasikan janji-janji yang

tertera di manifesto PRU 14 di samping gigih membersihkan nama negara dari isu isu yang

terpalit yang menyebabkan majoriti rakyat marah dan menterjemahkan kemarahan itu di PRU14.


Menteri-menteri kabinet yang telah dilantik pula sibuk dengan tugas-tugas bagi menambah baik

pengurusan di kementerian masing masing. Pendek kata mereka memerah otak agar kementerian

yang diuruskannya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


Wajah Malaysia baru harus segera diketengahkan !

Sementara itu….BN pula sepatutnya sibuk mencari isu-isu dengan fakta yang betul dan lengkap

supaya dapat menjadi pembangkang yang berilmu, berwibawa dan cekap jika berhujah.

Dalam pada itu mereka berusaha memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada UMNO.

UMNO parti keramat orang Melayu. Untuk menarik hati rakyat agar kembali menyokong

UMNO, BN wajib mempamerkan wajah baru bersih luar dan dalam. Mereka juga boleh menjadi

pengkritik kerajaan yang segar dengan idea bernas, berilmu dan berwibawa hingga memberi

check & balance kepada kerajaan.

Selain itu, usaha membersihkan UMNO dari pemimpin korup, putar alam, pembohong,

budaya samseng, ego, kroni dan lemau patut segera dibuat bagi  mengembalikan kepercayaan

rakyat kepada UMNO. Ini wajib dibuat sungguh- sungguh, dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Apa yang rakyat benci hingga  sanggup mengalih kiblat ketika PRU 14, sentiasa diambil kira

dalam mengatur strategi pemulihan ini.


UMNO wajib menunjuk keseriusannya untuk menegakkan kembali undang-undang dan

mempertahankan keluhuran Perlembagaan  yang sebelum ini telah dikhianati.. Kealpaan dan

kelemahan lampau wajib dijadikan pengalaman pahit yang tak mungkin diulang.


Ini yang kita mahu lihat dilakukan oleh kerajaan dan parti pembangkang selepas PRU 14.

Namun hingga hari ini bagaimana agaknya?

Setiap kali kita membuka FB, kita dapat melihat suasana masih seperti sebelum PRU 14.  

Penyokong kerajaan serta penyokong pembangkang masih terus bertikam lidah. ….

mengutuk kepimpinan lawan.


Penyokong pembangkang terus menerus menghentam kepimpinan PH, menuduh mereka

menang PRU14 kerana fitnah mereka tanpa membuat muhasabah diri kecuali segelintir saja.

Mereka mempertikaikan perlantikan menteri-menteri serta menuntut janji  PRU14 dipenuhi tanpa

memikirkan beban kudis yang ditanggung oleh kerajaan.


Mereka terus menghentam kerajaan kerana belum menunaikan janji seolah-olah masa kerajaan

lama memerintah semua janji telah ditepati dan suci daripada kekotoran.  Gambar-gambar

pemimpin kerajaan, sedutan ucapan ucapan mereka walaupun telah seabad berlalu terus

diviralkan dengan tujuan untuk menanamkan kebencian rakyat kepada kerajaan dan mahu

melaga-lagakan mereka.


Istilah redha atas kekalahan rupa rupanya hanya dibiber saja!


Lebih hebat lagi apabila  mereka menunjukkan bantahan terhadap kerajaan khasnya sistem

mahkamah/SPRM kerana menahan Dtk Seri Najib atas 4  tuduhan yang dianggap maha zalim

kerana bekas PM suci dan bersih. Ada yang melebelkan bekas PM sebagai bekas PM terbaik

setakat ini dan mahu terus dipilih sebagai PM. Nampaknya untuk mengangkat kembali

undang undang kepada kedudukan yang tinggi dan sepatutnya bukan agenda mereka.


Apa yang mereka mahu mantan PM dilepaskan daripada tuduhan sebab beliau dianggap

pemimpin UMNO yang paling berjasa. Beliau patut dibebaskan. Apa pun kenyataan yang dibuat

tentang DSN oleh kerajaan,  SPRM dan PDRM..dianggap fitnah.


Anih! Hebatnya perjuangan UMNO sehingga lupa untuk memperjuangkan penolakan ke atas

UEC yang terang terang bertentangan dengan Akta Pendidikan itu. Entah entah UEC pun mereka

tidak tahu atau tahu tapi tidak peduli!


Di pihak Kerajaan pula kita lihat menteri menteri yang dilantik cuba berusaha memberikan

perkhidmatan yang terbaik. Kita harus memberi masa kepada mereka. UMNO telah 60 tahun

memerintah tentu pengalaman lebih luas. Namun dek kerana  pemimpin pemimpinnya terlajak

pandai hingga tidak perlu mematuhi undang undang, beraja di mata bersultan dihati, akhirnya

padah menimpa mereka.


Walaupun PH telah mendapat kuasa,  ini bukan bermakna ia akan terus berkuasa selamanya.

Suara suara sumbang daripada DAP atau mana mana penyokong kerajaan menuntut sesuatu

yang tidak mengikut perlembagaan sepatutnya tidak ada. Bersyukurlah banyak banyak kerana

anda dipilih kali ini. Jangan sudah diberi betis hendakkan peha pula.


Semua pemimpin pemimpin parti tak kira daripada pembangkang mahupun kerajaan seharusnya

sekarang membuka topi parti parti masing masing, bekerjasama, bermuafakat  dan berkhidmat

hanya untuk negara dan mensejahterakan rakyat. Bukan untuk perjuangan parti mereka, atau

kaum mereka jika bertentangan dengan perlembagaan. Bukan hentam menghentam dan keji

mengeji dan bergolek diatas jalan mempertahankan pemimpin mereka.

Malulah kepada dunia luar kerana PRU di Malaysia berjalan setiap hari…..


Marilah rakan rakan kita rapatkan barisan untuk sama sama  menyumbang ke arah

kesejahteraan negara. Berikanlah ruang kepada kerajaan baru membina Malaysia baru

dan kita menjadi pengkritik berilmu yang berani . Kita sayangkan negara kerana itu kita berhak

mengkritik atau memberi pandangan membina. Kini kita tidak lagi ditahan kalau mengkritik!

PRU 15 kelak baru kita pakai topi kita kembali jika panjang umur!


TK.

NBH

Wednesday, May 23, 2018

Sahabat Ku UMNO..

Assalamualaikum sahabat ku UMNO!

Kalau nak baca...bacalah!. Kalau tak sudi nak baca pun bacalah juga sikit. Kalau rasa semua ni karut, buanglah jauh jauh. Tak salahpun. Tapi sebagai sahabat, aku rasa aku perlu menjawab soalan mu di sini. Biar yang nak bertanya tapi takut nak bertanya itupun boleh baca. Soal bersetuju atau tidak dengan aku, itu soal lain.

10 Mei 2018, telah melakar sejarah hitam pada parti keramat kita. UMNO tumbang ditangan PH. UMNO tidak lagi menjadi parti dominan memerintah Malaysia setelah 60 tahun berkhidmat di Negara ini. Peristiwa hitam ini in syaa Allah akan tercatat dalam buku sejarah kelak. Pasti guru-guru kita akan menerangkan peristiwa ini kepada cucu cicit kita di sekolah. Macam juga aku dulu dengan bersemangat menceritakan perjuangan Dato Onn, Tengku dll menentang penjajahan British serta menubuhkan UMNO kepada pelajar-pelajar ku!

Aku tahu engkau bersedih. Ramai juga kawan kawan kita sehingga sekarang masih tak percaya UMNO kalah teruk dalam PRU 14 ini. Masakan kalah sedangkan jutaan ringgit  sudah ditabur di sana  sini untuk membeli hati rakyat. Barang barang makanan seperti gula, minyak,  beras, tepung juga hampir setiap minggu menjelang PRU diberi kepada rakyat atas nama ‘ Pemimpin Memahami Denyut Nadi Rakyat’ . Pemimpin pemimpin  juga  sudah turun padang. Ada yang berbasikal atau bermotor datang ke kampung kampung tanda rendah dirinya pemimpin kita.  Ada yang menyapu, memotong rumput, menoreh getah, mengecat rumah dan sebagainya...untuk tunjuk pada rakyat mereka mesra rakyat, mereka sayang rakyat. Saluran tv dan UM setiap hari mencanang kehebatan pemimpin UMNO memerintah negara...hingga iklan di tv pun dikuasai oleh kerajaan. Janji janji manis yang bernilai jutaan ringgit juga sudah diberikan . Masakan itu tidak cukup buat rakyat memangkah BN kelak dlm PRU14? . Maka...engkau amat yakin UMNO dan sekutunya atas nama BN akan menang besar….tapi hakikatnya...sebaliknya telah berlaku.  Engkau terduduk! Engkau menangis! Sedih kerana  Parti keramat pusaka emak bapak kita buat pertama kali jatuh ke tangan pembangkang!

Bohonglah….kalau aku katakan, aku tak ada rasa apa apa dengan kekalahan ini. Gugur juga setitik dua air mata bila UMNO tidak lagi jadi pemerintah. Namun aku tetap sujud mengucap syukur dengan keputusan tersebut. Anihkan?

Aku sedih kerana UMNO adalah parti keramat, parti kesayangan aruah kedua orang tuaku dan seluruh keluargaku. Taatnya kami kepada parti UMNO jangan pertikaikan. Kenangan aku membonceng basikal abah dengan memegang raga yang berisi karipap menuju ke rumah ketua UMNO dikampung tahun  1955 tak dapat aku lupakan. Lagu ‘ Undilah’ sentiasa bermain dibiber dan poster Kapal Layar penuh keliling rumah setiap kali PRU diadakan.   Aku sayangkan UMNO kerana ketika itu kami ditanamkan semangat sayangkan UMNO kerana UMNO lah yang   membela bangsa, agama dan tanah air. Kenangan itulah tetap menghantui aku setiap kali aku menulis di FB. Untuk menulis  diakhbar tak mungkin tersiar kerana kini  nadaku pro kepada pembangkang.   Sebenarnya aku mahu membuka minda sahabat sahabatku agar menerima hakikat musuh berada di landasan yang betul. Untuk menang dalam peperangan kita wajib tahu kekuatan dan kelebihan lawan bukan membutakan mata dan memekakkan telinga atas alasan kita hebat sebab sudah memerintah 60 tahun. Mustahil boleh kalah!

Sahabat sahabatku…

Sekarang sah bukan? Engkau yang kalah? Dan kini engkau serta yang lainnya menuding jari mencari siapakah makhlok perosak UMNO yang menyebabkan UMNO kalah teruk dalam PRU14?  Tentunya  Tun M dijadikan sasaran utama  menyebabkan Melayu berpecah undi ! Betulkah tuduhan itu?

Mari sahabat kita berlapang dada mencari sebabnya.  Cuma aku mahu engkau jujur dalam mencari sebab tersebut jangan beremosi. Kalau emosi mu mengatasi   IQ dan SQ mu pasti kau tidak akan dapat jawapan yang tepat. Dan kalau engkau gagal mencari jawapan yang tepat jangan mimpi engkau akan dapat mencari formula untuk bangkit kembali. Engkau dan UMNO mu akan terkubur selamanya! Percayalah!

Sahabat ku,

Aku sujud  syukur sebaik mendapat tahu PH menang  . Syukur bukan kerana UMNO sudah tersungkur tetapi syukur  kerana ramai anak anak ku di luar sana otaknya di kepala. Boleh berfikir secara sihat! Aku merasa cukup tenang.

Berlapang dadalah sahabat ku menerima kemenangan PH ini. Dan jika engkau ingin tahu pandangan ku , In Syaa Allah akan ku tulis lagi di sini atau kita bertukar w/app kelak.

Semoga MALAYSIA terus bersinar!

Salam dari sahabatmu!
NBH.
16 Mei 2018
2.00 mlm.

Tuesday, December 14, 2010

Tulis...delete, tulis delete...!!!!!!!!!!!!

3 hari lepas saya dihubungi En W. Beliau perkenalkan diri dan menyatakan hajatnya menalipon . Beliau minta saya menjadi salah seorang kolumnis salah sebuah majalah pendidikan yang akan dilancarkan Januari depan. Pening juga saya memikirkannya! Apa yang nak saya tuliskan sebab saya bukanlah seorang penulis yang baik!Kata En W,' Puan tilislah apa sahaja yang ada kaitan dengan kepakaran puan!".
Beberapa saat saya memerah otak untuk mencari tajuk yang hendak ditulis.Dalam pada berusaha sedaya upaya untuk mencari tajuk yang sesuai saya terus menjawab " ok, bila nak dihantar bahan tu?". Anih betul saya rasa diri ini kerana terlalu sukar untuk menjawab tidak boleh!atau tidak kuasa!
Lantaran itu sudah dua malam saya mengadap komputer. Tulis , delete, tulis delete, tulis delete....tulis delete...sampai bila macam ni?
Tapi nampaknya malam ini ok sikit....sudah mula nampak jalan.....jangan tersesat sudah!

Tuesday, December 7, 2010

Nyamuk oh nyamuk!

Malam tadi sepincing pun saya tak dapat melelapkan mata. Nyamuk berkeliaran dan sentiasa mencari mangsa menyebabkan saya tak dapat tidur. Anihnya suami pula berdengkur tidur setengah mati.Mungkin nyamuk tak selera menghisap darahnya. Untuk menghilangkan rasa jemu dan menunggu hari siang, mujurlah saya membawa TQ Hamka. Membacanya saya terlupa sedikit masalah yang mengganggu tidur saya.
Kata suami tidur di hotel buget akan memudahkan saya menghadiri mesyuarat ALPA di YGMB malam itu sebab letaknya selang beberapa pintu sahaja dari Wisma YGMB. Saya mudah berulang alik ke situ. Lagipun , di Taman Melawati ini tak ada hotel standard, kalau hendak juga terpaksa keluar taman tersebut dan letaknya jauh pula dari tempat mesyuarat. Jadi , tak ada pilihan lain selain terpaksalah bermalam di hotel budget itu. Lagipun cuma semalam aje. Rupa-rupanya walaupun hanya semalam, saya rasa terlalu lama tinggal di situ dan terlalu lama pula menunggu hari siang. Apapun mujur ada TQ Hamka.
Walaupun keadaan amat menjemukan tetapi saya merasa puas kerana dapat hadir mesyuarat tersebut. Apa yang terbuku di hati dan semua rintihan guru yang saya dengar selama ini tentang YGMB dapat saya suarakan. Amat menyeronokkan bila Tan Sri dan yang lain sudi mendengar keluhan itu dan berjanji 'penjenamaan' semula seperti yang dirancang akan diperhalusi. Wau! Datuk-datuk yang hadir yang melontar idea positif diharap boleh mengubaH corak YGMB dan tender untuk dimenangi oleh Konsultansi boleh ditambah. Datuk "A" tentu boleh membantu sebab datuk masih ada kuasa! .
Sebaik menunaikan solat subuh itu, kami bersiap untuk pulang. Dalam perjalanan pulang kami singgah bersarapan di Dengkil akibat tersesat jalan yang sepatut dilalui. Makan nasi lemak dan roti bawang (sekenyang-kenyangnya) untuk 2 orang hanya RM 6.00. Berbeza benar harganya berbanding dengan di gerai Kristal'. Sepiring nasi goreng Cina dan dua gelas kopi tarik di situ harganya RM 18.00.

Saya terkenang perbualan saya dengan jurutera muda ketika kami makan tengah hari di Hotel Mekah April lalu. Katanya kalan gaji seseorang itu RM5,000.00 sebulan dan duduk di Kualan Lumpur, keadaan amat sukar. Duit sering tak cukup! Saya terkejut. 'Kenapa ? kan RM 5,000.00 banyak? Antie dulu baru-baru bekerja gaji cuma RM850.00 aje tapi tak ada masalah? Anak kamu pula hanya 3 orang, masih kecil pulak?", kata saya.
Si jurutera muda dengan tersenyum menjawab", Antie, belanja menghantar 3 orang anak ke nursery RM 1500.00, bayar duit rumah RM 850.00, bayar gaji mad RM 600.00, minyak kereta dan bayar tol RM 600.00 sebulan , itu belum dikira kalau jalan kerap jem! hantar duit kat kampung sikit, bayar duit letrik dan air, makan minum......Hoi...tak cukup antie!" katanya.
Saya menghitung-hitung sendiri..... kalaulah begitu susah juga ye kalau duduk kat bandaraya ni! Tapi bila saya kira balik beliau suami isteri dan anak-anak telah dapat mengerjakan Umrah lebih daripada dua kali, maknanya gajinya suami isteri...hoi besarnya!
Syukurlah! Ramai bangsa saya sudah bijak mencari wang sehingga gaji 6 angka sudah menjadi perkara biasa bagi mereka!

Tuesday, November 30, 2010

Thistle Hotel JB

Sebaik sampai di rumah jam 8.30 malam tadi saya merasa amat letih. Apa tidaknya, bercakap 8 jam sehari mulai hari Isnin lepas menyebabkan tekak kering dan tenaga berkurangan. Sebaik sampai di rumah rasa macam nak lemparkan aje badan di tilam tapi tak boleh sebab perut sudah berbunyi dan belum solat. Mujur Bib dah sediakan makanan. Tak lengah lagi terus buka tudung saji, cari sambal goreng dulu...Wuh! sedapnya bila di makan dengan nasi panas.
Bersama dengan guru-guru pra sekolah, tadika, tabika swasta dan seumpamanya amat menyeronokkan .Walaupun masa rehat terlalu pendek, namun saya rasa gembira kerana mereka amat memberi kerjasama semasa saya membentangkan beberapa konsep kurikulum yang terkandung dalam KSPK (KURIKULUM STANDARD PRA SEKOLAH kEBANGSAAN). Kebanyakan peserta yang terdiri daripada guru-guru non-malays amat memberi kerjasama. Pandangan dan pengalaman mereka boleh membantu memberi idea kepada rakan-rakan mereka yang lain terutama yang baru setahun dua mengajar di Tadika atau Pra Sekolah atau Taska/ki.Wou..terkejut sakan bila mendengar saya akan pulang petang ini. 14 jam dengan 7 slot masih tak cukup. Hei! Cukuplah . Saya sudah terlalu rindu dengan sambal goreng saya!
Memang tepat Kementerian Pendidikan menganjurkan kursus untuk guru-guru sebegini. Semangat patriotrik, pemahaman tentang konsep pendidikan Malaysia dapat di lontarkan dan mereka amat merasa bersyukur kerana diberi peluang berkursus .Tapi saya tak boleh lama di sana. Cukuplah dua hari tu.Itu belum dikira membuat TOT 2 hari sebelum tu. Malam ini tentu ada yang menyambung tugas saya. Dan mereka akan lebih memahami lagi tentang KSPK itu terutamanya apabila beberapa tunjang telah didedahkan. Semoga pendidikan diMalaysia bertaraf dunia dapat direalisasikan secepat mungkin.
Terima kasih, Tan....Tin....Zavita, Kamala dan yang lain-lain...!

Sunday, November 7, 2010

KFC

Selepas menyiapkan tugas-tugas di rumah , aku terus memecut ke SKL. Dua jam di sana , aku pecut pula ke Pejabat Pos besar hanya semata-mata hendak melihat surat berdaftar yang tak dapat diserahkan kepada ku di rumah lantaran ketiadaanku pada hari itu. Sepanjang memandu, hati tertanya-tanya , surat apa agaknya tu sampai hantar kepada ku secara berdaftar? Kalau cek, seingat aku semua cek yang patut ku tuntut sudah ku terima . Biasanya surat berdaftar ni dikirim oleh Yayasan Guru- menjemputku ke kursus PTK ....Tapi kalau betul macam tu kenapa si Bob atau Izah tak followup dengan telefon macam selalu yang dibuat?
Eh...risau gak aku memeikirkan kandungan surat berdaftar tu.Jangan-jangan surat itu tidak berstem jadi surat tu ditahan dan hanya diberi kepada ku setelah aku membayar denda . Ini pernah berlaku kepada ku suatu masa dulu, ketika aku masih bertugas!
Dalam meneka-neka begitu, akhirnya sampai di destinasi dan terus parking kereta. Mujur ada dua tempat letak kereta yang masih kosong. Bergegas ke kaunter serahan yang dah berpindah lokasi.
Di Kaunter serahan taksabar aku menunjukkan surat maklumat pos berdafftar kepada pegawai bertugas. Tak sampai 2 minit pegawai bertugas menghulurkan surat yang dimaksudkan. Wah...disampul surat tertera cop Yayasan Guru. Apa pula mahunya sedangkan dia tak berhutang kepadaku dan akupun tak berhutang kepadanya. Tak sabar suratku buka.. Alahai rupa-rupanya sekeping cek yang aku sendiri sudah terlupa.....
Yang gelihatinya bukan banyak...tapi bolehlah sambung nyawa.
Nak balik? Malas lak. Perutpun dah lapar ,entah macam mana ,( macam dah tebiat lak) buat pertama kali aku ke KFC di Mata Kucing. Pelik gak...Selama ini tak pernah ke KFC sendirian hari ini ke situ pulak. Tapi bila masuk rasa seronokkkkkk! Seronok bukan kerana makan KFC tapi seronok cuma aku seorang sahaja makan di situ! Wuh...boleh makan sambil bersantai dan berangan! Tapi "Kalau bawa cucu kan baik!'

Sunday, October 24, 2010

Jangan dimanjakan.

Sebaik pulang, dari SMK Klebang saya terus ke J kerana ada pertemuan dengan Wanita di sana. Lepas tu tak buang masa terus pulang ke rumah kerana petang ini saya harus membantu persiapan kenduri kakak ipar yang akan berangkat ke Mekah Isnin ini. Wah! Bila sebut ke Mekah saja....mata saya terus terpandang Kota Madinah, Masjid Nabawi, Kuburan Baqe', Taman SYORGA, Makam kekasih Allah swt serta sahabat-sahabatnya...dan lagi dan lagi.....................kemudian mata terus terpandang pula Masjidil Harram, dengan Kaabahnya, bukit Safa dan Marwah...dan lagi.............dan lagi....... Rasa-rasanya, tak sabar mahu kembali lagi ke sana .....tak pernah rasa penat, letih jauh sekali jemu.
Teringat saya bulan April yang lalu , sewaktu saya dan suami ke sana, sememangnya ketika itu saya sedang sakit kaki. Penyakit yang sudah menyerang saya hampir dua bulan, sudah diurut dan sudah juga ke doktor tetapi kaki tetap sakit dan sukar hendak memijak lantai. Tapi dek kerana hati tetap mahkan terjadi pada saya ketika di sana nanti.
Nak dijadikan cerita , sepanjang saya di sana khususnya di Kota Mekah, hampir setiap hari saya berjalan lebih daripada 8 kilometer. Apa tidaknya, bukan hanya sekadar berulang alik dari rumah ke Masjidil Haram setiap waktu, malah selalu buat tawaf sunat dan sae, dann......... kaki yang sakit ini tetap diheret............. .. Rupa-rupanya apabila kaki ini tidak dimanjakan dia tahu membawa diri. Sakit terus hilang hingga ke hari ini.Alhamdulillah! Semoga 'Engkau mengizinkan aku datang lagi ke situ dan permudahkanlah aku mencapai hajatku itu '.
Apa yang aku paling takut ialah ..apabila diakhir hidupku....Engkau melupakan aku....!